Kembali ke laman utama
  • Language / Bahasa:
  • English
  • Bahasa Malaysia

Tentang Umur Persaraan Minimum

Mengapakah umur persaraan minimum dijadikan undang-undang?

Memandangkan warga Malaysia kini berupaya hidup lebih lama, perubahan Malaysia menjadi negara dengan populasi menua menjelang 2030, serta unjuran bahawa simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kian menyusut, Akta Umur Persaraan Minimum 2012 (Akta) telah dikuatkuasakan pada 1 Julai 2013 bagi menetapkan bahawa umur persaraan pekerja sektor swasta adalah 60 tahun. Umur Persaraan Minimum meliputi semua kategori pekerja, kecuali kategori pekerja yang disenaraikan oleh Seksyen 2 di bawah Akta tersebut. Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kategori pekerja yang dikecualikan, sila lihat pautan. Sebelum Akta ini dikuatkuasakan, umur persaraan bagi pekerja sektor swasta tidak dilindungi oleh sebarang undang-undang. Namun, secara lazimnya, majikan menetapkan umur persaraan pada 55 tahun. Penetapan tersebut dibuat bersandarkan had umur yang dibenarkan untuk pengeluaran simpanan KWSP. Selain itu, kajian mendapati bahawa 86% daripada pencarum KWSP tidak mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi untuk menampung kehidupan mereka setelah bersara1. Kajian tersebut, membabitkan tinjauan terhadap 2,427 bekas pencarum KWSP pada tahun 2003 mendapati bahawa 14% pesara kehabisan simpanan persaraan mereka dalam tempoh 3 tahun, separuh kehabisan simpanan persaraan mereka dalam tempoh 5 tahun manakala 70% pula kehabisan simpanan mereka dalam jangka 10 tahun. Data yang diperoleh daripada KWSP pada tahun 2010 menunjukkan bahawa 73% daripada pencarumnya mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000 ketika mencecah umur 54 tahun. Isu ketidakcukupan simpanan persaraan ini lebih terbeban disebabkan jangka hayat purata warga Malaysia yang telah meningkat kepada 75 tahun. Malah, menjelang 2030, Malaysia diunjurkan menjadi sebuah negara tua, apabila 15% penduduk akan berusia sama ada 60 tahun atau lebih, berbanding pada tahun 2010 apabila hanya 7.8% penduduk berusia 60 tahun atau lebih. Berdasarkan statistik tersebut, Kerajaan Malaysia memutuskan pada bulan Mac 2011 untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi menetapkan suatu umur persaraan minimum untuk pekerja sektor swasta menerusi penggubalan undang-undang berkaitan. Kementerian Sumber Manusia (KSM) kemudiannya mengumpulkan input serta maklum balas daripada pihak berkepentingan berkenaan isu umur persaraan minimum. Pelaksanaan umur persaraan minimum yang digalas oleh KSM tercakup dalam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) Pembangunan Modal Insan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP). Selaras dengan matlamat mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, penetapan umur persaraan yang diwartakan menerusi Akta Umur Persaraan Minimum 2012 dijangka menyumbang kepada takungan modal insan negara sekali gus mengekang kehilangan sumber pendapatan bagi pekerja yang sudah melewati umur 55 tahun.
1Berdasarkan skop perbelanjaan sebanyak RM720 sebulan untuk tempoh 20 tahun.

Perutusan Menteri

Demi menjayakan usaha untuk mengangkat Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, tumpuan terhadap pembangunan modal insan amat penting sejajar dengan agenda transformasi negara. Dalam hal ini, gabungan tenaga kerja yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi menjadi tonggak sebuah ekonomi maju kerana ia membuka peluang kerja yang lebih baik serta menyumbang kepada daya saing negara. Sehubungan dengan itu, peningkatan daya saing global ialah matlamat utama Program Transformasi Ekonomi (ETP), justeru, bagi mendukung matlamat tersebut, Kementerian Sumber Manusia telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi menyelaraskan dasar serta undang-undang buruh negara agar setanding dengan negara yang lebih maju. Pembentukan Akta Umur Persaraan Minimum 2012 (Akta 753) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2013 adalah antara usaha paling penting yang dilakukan setakat ini. Undang-undang baharu ini menetapkan umur persaraan minimum bagi pekerja sektor swasta pada usia 60 tahun. Ini adalah suatu pencapaian penting bagi Malaysia sekali gus memacu kelangsungan agenda transformasi Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi. Sebelum Akta 753 dikuatkuasakan, umur persaraan bagi pekerja sektor swasta tidak dilindungi oleh sebarang undang-undang di Malaysia, namun, secara lazimnya, majikan kerap kali menetapkan umur persaraan pada usia 55 tahun. Umur persaraan tersebut adalah lebih rendah berbanding umur persaraan di kebanyakan negara jiran. Kebanyakan negara ASEAN2 dan juga negara Asia yang menguasai ekonomi ketika ini seperti China, India, Jepun dan Korea Selatan, menetapkan umur persaraan pada umur 60 tahun. Malah, salah satu jiran terdekat Malaysia iaitu Singapura, yang juga tergolong sebagai negara ASEAN menetapkan umur persaraan minimum sekitar 61-64 tahun, manakala di negara-negara maju seperti Australia, Kanada dan Jerman pula, umur persaraan minimum adalah 65 tahun ke atas. Faktor lain yang mendorong penguatkuasaan umur persaraan minimum yang lebih tinggi daripada 55 tahun ialah peningkatan jangka hayat purata warga Malaysia. Malah menjelang 2030, Malaysia dijangka menjadi sebuah negara dengan populasi yang menua. Selain itu, kebanyakan warga Malaysia diunjurkan akan kehabisan simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika tempoh persaraan mereka. Oleh hal yang demikian, Akta 753 dibentuk bagi menangani isu terbabit dengan membolehkan pekerja bekerja lebih lama justeru mengukuhkan kestabilan wang simpanan sebelum mereka bersara. Selain itu, Akta ini juga berupaya mempertingkat produktiviti negara agar selari dengan aspirasi untuk melonjakkan negara ke status negara berpendapatan tinggi. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan, terutamanya pihak yang bersama-sama menyertai perundingan dan perbincangan tripartite yang diadakan sewaktu pembentukan Akta ini. Mereka yang terlibat termasuklah golongan majikan, pekerja serta wakil Kerajaan yang telah menggembleng tenaga dan menghulurkan sumbangan sehingga Akta 753 berjaya diwujudkan. Walaupun baru setahun jagung Akta ini dilaksanakan, saya amat yakin bahawa undang-undang baharu ini akan mampu melonjakkan Malaysia ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi. Saya yaking dan percaya suatu tenaga kerja di Malaysia yang jauh lebih produktif dan lebih kukuh dari segi kewangan mereka akan terbentuk dengan perlaksanaan Akta 753. Dato’ Sri Richard Riot Anak Jaem Menteri Sumber Manusia
2Brunei, Cambodia, Indonesia, Laos, the Philippines, Thailand, Vietnam and Myanmar.

Perutusan Ketua Setiausaha

Pelaksanaan Akta Umur Persaraan Minimum 2012 adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan bagi meningkatkan tahap daya saing Malaysia di persada antarabangsa. Peningkatan daya saing global yang disasarkan menerusi enam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) adalah satu daripada jentera atau teras pembangunan terpenting yang berperanan memacu Program Transformasi Ekonomi (ETP) Malaysia. Teras kedua ETP adalah 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi negara. Salah satu SRI tersebut ialah SRI Pembangunan Modal Insan yang dirumuskan untuk memperkukuh dan menampung keupayaan dan bekalan modal insan yang diperlukan oleh setiap NKEA. Pasa masa yang sama, SRI ini juga menyasarkan peningkatan tenaga mahir dalam kalangan pekerja di Malaysia. Dalam hal ini, SRI Pembangunan Modal Insan telah menyaksikan pelaksanaan dasar yang bertujuan mentransformasikan persekitaran kerja dan tenaga kerja. Dari segi transformasi persekitaran kerja, komponen yang menjadikan persekitaran kerja lebih cekap telah dimuatkan, manakala transformasi tenaga kerja pula memberikan tumpuan kepada penerokaan bakat wanita, penambahbaikan data pasaran buruh serta usaha untuk mempertingkat dan menaik taraf kemahiran tenaga kerja. Susulan daripada itu, penguatkuasaan Akta Umur Persaraan Minimum 2012 adalah dasar yang dibentuk sejajar dengan usaha mentransformasikan persekitaran kerja di bawah SRI Pembangunan Modal Insan. Penetapan umur persaraan minimum pada 60 tahun bukan hanya mampu mendepani situasi membabitkan jangka hayat warga Malaysia yang kian meningkat, peralihan Malaysia kepada sebuah negara dengan populasi menua serta masalah simpanan persaraan yang tidak mencukupi, bahkan, Akta ini dijangka menjadi penyumbang penting selaras dengan usaha meningkatkan tahap produktiviti negara. Hal yang demikian ini kerana umur persaraan yang lebih tinggi, berbanding umur 55 tahun yang lazim digunakan sejak dulu, berupaya mengekalkan takungan modal insan yang berkemahiran untuk memacu agenda transformasi ekonomi Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. Pelbagai cabaran dan rintangan telah diharungi dalam usaha merealisasikan penggubalan Akta Umur Persaraan Minimum 2012. Meskipun demikian, Kementerian Sumber Manusia tidak akan pernah berhenti berusaha demi keharmonian dan kebajikan pekerja serta majikan di Malaysia. Kerjasama dan maklum balas yang diberikan oleh rakan tripartite yang terdiri daripada golongan pekerja dan majikan amat kami hargai. Dalam hal ini, saya benar-benar berharap agar kerjasama serta pertalian yang lebih erat dapat dijalankan seiring dengan usaha merealisasikan hasrat Kerajaan untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Datuk Seri Hj. Saripuddin bin Hj. Kasim Ketua Setiusaha, Kementerian Sumber Manusia
[top]