Kembali ke laman utama
  • Language / Bahasa:
  • English
  • Bahasa Malaysia

Maklumat Penting

Akta Umur Persaraan Minimum 2012

Akta Umur Persaraan Minimum 2012 Akta Umur Persaraan Minimum 2012 (Akta) telah diwartakan pada 16 Ogos 2012 dan dikuatkuasakan pada 1 Julai 2013. Akta ini menetapkan bahawa pekerja mesti mencapai sekurang-kurangnya umur 60 tahun sebelum dibersarakan. Namun, majikan boleh menetapkan umur persaraan yang lebih tinggi bagi pekerja mereka iaitu melebihi umur 60 tahun. Sementara itu, Menteri Sumber Manusia boleh mewartakan umur persaraan minimum yang lebih tinggi daripada 60 tahun. Sekiranya Menteri membuat ketetapan tersebut, umur persaraan minimum yang lebin tinggi itu hendaklah menggantikan umur persaraan minimum yang diperuntukkan di bawah Akta.
Siapakah golongan yang termaktub di bawah Akta ini?
Akta ini berkuat kuasa ke atas semua majikan dan pekerja di seluruh Malaysia tanpa mengira jumlah bayaran gaji yang dibayar kepada pekerja. Walau bagaimanapun, Seksyen 2 Akta ini menyatakan bahawa penetapan umur persaraan tidak terpakai kepada kategori pekerja dalam Jadual Seksyen 2 Akta:
  • seseorang yang diambil bekerja secara tetap, sementara atau kontrak dan dibayar emolumen oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan mana-mana Negeri, mana-mana badan berkanun atau mana-mana pihak berkuasa tempatan;
  • seseorang yang bekerja dalam tempoh percubaan;
  • seseorang perantis yang diambil kerja di bawah kontrak perantisan;
  • pekerja bukan warganegara;
  • pekhidmat domestik;
  • seseorang yang diambil bekerja dalam apa-apa pekerjaan dengan purata waktu bekerjanya tidak melebihi tujuh puluh peratus waktu bekerja biasa seseorang pekerja sepenuh masa;
  • seseorang pelajar yang diambil bekerja di bawah mana-mana kontrak untuk tempoh pekerjaan sementara tetapi tidak tergolong sebagai pekerja dalam cuti belajar dan pekerja yang sedang belajar secara separuh masa;
  • seseorang yang diambil bekerja untuk suatu kontrak perkhidmatan bertempoh tetap termasuk apa-apa pelanjutan, yang tidak melebihi tempoh dua puluh empat bulan; dan
  • seseorang yang, sebelum 1 Julai 2013, telah bersara pada umur lima puluh lima tahun atau lebih dan kemudiannya bekerja semula selepas dia bersara.
1As defined under Section 2 of the Employment Act 1955, the Sabah Labour Ordinance and the Sarawak Labour Ordinance. 2As above.
Persaraan Pramasa
Menurut Akta, majikan tidak boleh membersarakan pekerja mereka secara pramasa sebelum pekerja mencapai umur persaraan minimum. Seseorang majikan yang melanggar Akta dianggap telah melakukan kesalahan. Jika majikan tersebut disabitkan dengan kesalahan, majikan boleh didenda sehingga RM10,000. Namun begitu, persaraan pramasa tidak termasuk persaraan pilihan (lihat di bawah) serta penamatan kontrak perkhidmatan pekerja atas sebab selain atas alasan umur.
Persaraan Pilihan
Meskipun umur persaraan minimum ditetapkan pada umur 60 tahun, seseorang pekerja boleh memilih untuk bersara pada umur yang lebih awal daripada 60 tahun dengan syarat persaraan ini sudah dipersetujui oleh pekerja dalam kontrak perkhidmatan atau perjanjian kolektif.
Kontrak dan perjanjian kolektif
Sebarang umur persaraan dalam sesuatu kontrak perkhidmatan atau perjanjian kolektif yang dibuat sebelum, pada atau selepas tarikh penguatkuasaan Akta ini yang lebih rendah daripada 60 tahun disifatkan sebagai terbatal dan wajib digantikan dengan umur persaraan minimum 60 tahun. Selain itu, sebarang terma dalam sesuatu kontrak perkhidmatan atau perjanjian kolektif membabitkan umur persaraan juga terbatal jika terma itu mengecualikan atau mengehadkan penguatkuasaan sebarang peruntukan Akta ini.

Pengecualian

Seksyen 18 Akta memberikan kuasa kepada Menteri untuk memerintahkan pengecualian majikan atau kumpulan majikan daripada semua atau sebarang peruntukan Akta.

Aduan

Seseorang pekerja yang telah dibersarakan secara pramasa oleh majikannya mempunyai pilihan untuk mengadu kepada Ketua Pengarah. Aduan hendaklah dibuat secara bertulis dalam tempoh 60 hari dari tarikh pekerja dibersarakan. Akan tetapi, pekerja yang memilih untuk membuat aduan kepada Ketua Pengarah di bawah Akta ini tidak boleh membuat representasi di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 sehingga aduannya kepada Ketua Pengarah telah diselesaikan, atau dalam tempoh 30 hari selepas penolakan aduannya oleh Ketua Pengarah. Ketua Pengarah tidak boleh menjalankan siasatan terhadap aduan yang dibuat oleh pekerja membabitkan persaraan pramasa sekiranya pekerja tersebut telah membuat representasi di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967.
Porses Aduan Rajah 1: Proses Aduan
1Ketua Pengarah merujuk kepada: Di Semenanjung Malaysia, Ketua Pengarah Tenaga Kerja yang dilantik di bawah Akta Kerja 1955; di Sabah, Pengarah Tenaga Kerja yang dilantik di bawah Ordinan Buruh Sabah; dan di Sarawak, Pengarah Tenaga Kerja yang dilantik di bawah Ordinan Buruh Sarawak.
[top]